Saari Sungib

 

Hj Saari b. Hj Sungib merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor Penggal ke-13 sesi 2013-2018 bagi kawasan DUN N18 Hulu Kelang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH). Beliau kini berkhidmat sebagai wakil rakyat Hulu Kelang bagi penggal kedua selepas pertama kali memenangi kerusi Hulu Kelang pada Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008 selepas memenanginya atas tiket PAS dan gabungan Pakatan Rakyat(PR).

Beliau merupakan anak jati Selangor dilahirkan pada 3 Ogos 1957 di Dengkil, Selangor. Bapanya Hj Sungib Supian seorang peniaga manakala ibunya Allahyarham Saadiah seorang suri rumah.Keluarganya berpindah ke Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada awal tahun 1958. Pada tahun 1976, keluarganya berpindah ke Keramat AU2 dan menetap hingga kini.

Beliau memulakan pendidikan awal di Sek. Keb. Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur (1964-1969) dan dipilih melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (1970-1976). Seterusnya beliau dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Mekanikal dan Bahan dengan kepujian dari University of Aston in Birmingham (1982) dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA with distinction) dari University of Hull (1993). Beliau juga mempunyai Diploma (Lepasan Ijazah) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1984).

Di peringkat DUN Selangor, sepanjang 2008 hingga kini, Hj Saari telah memegang beberapa potfolio penting dan menjadi ADUN yang aktif dalam perbahasan Dewan. Beliau merupakan mantan pengerusi Jawatankuasa Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) pada 2010 yang bertangungjawab merangka undang-undang kebebasan maklumat yang pertama seumpamanya di Malaysia. Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Berkaitan Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) sejak 2008 hingga kini; diantara pendengaran awam berprofil tinggi yang dijalankan oleh SELCAT iaitu penyelewengan dana BALQIS (Pertubuhan isteri dan wakil rakyat Selangor) pada 2008 dan penamatan kontrak ahli lembaga pemegang amanah PKNS pada 2012, termasuk antara lain memanggil Mentor Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi membantu siasatan . Kini masih meneruskan jawatan sebagai  Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Mengenai Agensi Badan Berkanun & Anak Syarikat Negeri (JPK ABAS) dan  Jawatankuasa Pilhan Khas (JPK) Pembasmian Kemiskinan.

Di dalam parti AMANAH, beliau merupakan Ketua AMANAH Parlimen Gombak, Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Selangor dan Ketua Biro Dakwah, Jawatankuasa Pusat AMANAH Nasional sejak 2015.

Dikemaskini  20 September 2017

Leave a Reply

Mesra Berkebajikan