Kenyataan Akhbar : PR Selangor Sahut Cabaran Najib

KENYATAAN AKHBAR

25 APRIL 2013

PR SELANGOR SAHUT CABARAN NAJIB

Pakatan Rakyat Selangor menyambut cabaran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak untuk membentangkan kad laporan kecemerlangan pentadbiran negeri sepanjang 5 tahun ini.

Kita akan membentangkan kad laporan ini di Klang pada 1 Mei sempena siri jelajah manifesto yang disertai Presiden Keadilan, Dato’ Seri Wan Azizah.

Kita menjemput dan mengalu-alukan kehadiran Barisan Nasional untuk menyaksikan pembentangan ini termasuk calon-calon Menteri Besar Barisan Nasional.

Sekarang saya pula mencabar Najib untuk benar benar menghormati  Akujanji Integriti yang antara lain untuk tidak mengamalkan kempen merasuah para pengundi.

Ini kerana saya mendapat laporan satu gerakan besar-besaran yang dilakukan oleh Umno Selangor untuk membeli bilik gerakan Pakatan Rakyat serta telah mula menabur wang kepada pengundi sewaktu berkempen.

Pada masa yang sama, saya menyeru rakyat selangor tampil ke hadapan membuat laporan dan memberi maklumat  jika terdapat mana-mana calon, ejen mahupun penggerak parti politik menawarkan wang tunai ketika berkempen.

Laporan boleh dibuat kepada saya, SPR dan polis. Saya berharap Transparency International memantau isu ini supaya pilihan raya dijalankan secara adil dan bebas.

Najib juga menipu apabila melancarkan kempen Sayangi Selangor. Jika beliau menyayangi selangor beliau patut hormati semangat federalisma yang termaktub dalam Perlembagaan yang mana kerajaan negeri dibenarkan mentadbir tanpa kongkongan dari kerajaan Pusat.

Kenyataan Najib bahawa jika BN dapat menakluki selangor beliau sendiri akan pantau pentadbiran MB selangor menunjukkan bahawa Najib bukan sahaja tidak menghormati kedaulatan malah beliau tidak mempercayai calon bakal MB Umno yang dipilih.

Saya menganggap ini bukan kempen sayangi Selangor tetapi memperbodohkan rakyat Selangor kerana  banyak maklumat salah tentang negeri Selangor.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
PENGERUSI PR SELANGOR

Leave a Reply