Sidang Dewan Negeri Selangor – Saari : Lantik Pakar Bebas Nilai Status Cerun

 

SHAH ALAM 21 NOV : Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib menggesa Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan pakar bebas bagi menilai status kawasan cerun di Taman Sri Ukay dan Taman Hillview berhampiran Highland Towers.

Tegasnya lagi, jika kawasan cerun tersebut tidak selamat maka Kerajaan Negeri perlu mewartakan kawasan tersebut seterusnya mengharamkan sebarang pembangunan di kawasan itu.

“Sebelum ini terdapat kajian bahawa kejadian Highland Tower disebabkan aliran air bawah tanah.

“Dan kini, pembinaan kondo yang dirancang itu hanya beberapa meter daripada kawasan kejadian, keadaan ini ternyata merisaukan,” ujar beliau ketika perbahasan belanjawan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sebentar tadi.

Baru-baru ini, Shaari bersama 50 penduduk di Taman Sri Ukay dan Taman Hillview mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyatakan bantahan mereka terhadap dua projek pembangunan berprofil tinggi di kawasan cerun berhampiran kediaman mereka.

Salah satu projek di Lot 847 berhampiran Taman Hillview akan dibina tiga buah blok bangunan 40 tingkat, sementara satu lagi projek di Lot 5 membabitkan pembinaan lima blok bangunan 17 tingkat yang dibina berhampiran runtuhan kondominium Highland Towers.

Difahamkan, kedua-dua projek tersebut bakal dilaksanakan oleh dua pemaju yang berbeza.

Leave a Reply