Mengambil Bahagian Dalam Perbahasan Belanjawan 2013 Negeri Selangor

Shah Alam, 21 November 2012 – Sempena Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-12 Tahun 2012, Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5. Saari telah mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong Belanjawan 2013 yang telah dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor Isnin lalu. Saari telah membawa empat isu penting untuk perhatian pihak Kerajaan Negeri.

Berikut adalah teks ucapan Saari semasa perbahasan Belanjawan 2013 :

Tuan Speaker

 

Terima kasih kerana memberi peluang kepada Hulu Kelang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2013.

 

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sedang dan terus bergerak di atas landasan yang betul; antara ciri-ciri terpenting betulnya landasan ini adalah:

 

  • pentadbiran yang amanah, telus dan berani serta sanggup disemak oleh institusi yang ditubuh sendiri oleh Kerajaan seperti dalam pendengaran awam SELCAT berkenaan banjir di Klang Selatan dan Hulu Langat, operasi pasir di bawah Kumpulan Semesta dan Penggunaan Tanah Lapang PKNS di Kelana Jaya dan RTPJ2
  • melaksanakan program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang berteraskan Hasil Negeri Untuk Rakyat
  • membudayakan amalan “Membetulkan yang biasa dan Membiasakan yang betul”
  • menjayakan slogan Selangorku yang semakin mendapat penyertaan rakyat Selangor dalam mendukung dan mempertahankan pentadbiran yang amanah, telus, bersih dan bertanggungjawab
  • mengamalkan belanjawan berimbang dengan memastikan berbelanja berdasarkan pendapatan yang sudah ada di tangan, tidak boros serta tidak membebankan rakyat dengan hutang.

 

Selaras dengan itu, sekali gus daripada pemerhatian Hulu Kelang, dari 25 tawaran yang terkandung dalam Manifesto Barisan Alternatif antara PKR dan PAS pada tahun 2008 sehingga tahun 2011 sebanyak 18 telah dilaksanakan dengan ditambah 3 lagi program yang dilaksanakan pada tahun 2012.

 

Ini menjadikan 21 dari 25 program yang telah dilaksanakan dalam tempoh 4 tahun 7 bulan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor. Pencapaian 21 per 25 ini adalah bersamaan dengan 84% ataupun A plus, dengan izin.

 

Tuan Speaker

 

Setelah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri berada di atas landasan yang betul, saya ingin menegaskan pula beberapa perkara yang mesti diperkemaskan lagi dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

 

Dalam kesempatan masa 20 minit yang ada pada saya, saya ingin mengemukakan hanya empat perkara:-

 

Pertama: Teguran Ketua Audit Negara

 

Hulu Kelang menggesa Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara m.s 141 berkenaan dengan 27 perkara dan teguran bagi tahun-tahun 2006, 2008, 2009 dan 2010 yang digesa oleh pihak Audit Negra agar diambil tindakan segera.

 

Kedua: Usul-usul dan Penyata-penyata Jawatankuasa Pilihan

 

Hulu Kelang meminta Kerajaan mengambil berat usul-usul yang dibawa oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang telah dibahas dan diluluskan di Dewan yang mulia ini. Masih terdapat banyak usul yang tidak diambil tindakan oleh Kerajaan sehingga menyebabkan teguran seperti yang terdapat dalam Laporan Ketua Audit Negara m.s 26-27 berkenaan pembangunan tanah perkuburan bukan Islam tanpa kebenaran di Seksyen U14, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling. Perkara ini telah dibahaskan sebagai usul berikutan Penyata SELCAT di sidang Dewan pada tahun 2010.

 

Demikian juga Kerajaan Negeri diminta agar memberi perhatian yang sewajarnya terhadap penemuan, saranan dan syor daripada Jawatankuasa Pilihan Dewan yang terdiri daripada JP PADAT, JP PBT, JP ABAS dan PAC yang terkandung dalam penyata-penytaa yang dikemukakan sebagai kertas-kertas mesyuarat di Sidang Dewan yang mulia ini.

 

Ketiga: Prestasi PBT

 

Dalam perkara ini Hulu Kelang ingin membangkitkan isu “value for money”, dengan izin, – sering kali “value for money” diungkapkan dari perspektif Kerajaan; iaitu dari pihak penerima cukai! Namun konsep “value for money” juga hendaklah dilihat dari perspektif pembayar cukai.

 

Khusus dalam perkhidmatan angkat sampah, nyata terdapat di beberapa kawasan perumahan di beberapa PBT di mana sampah tidak diangkat menurut jadual.

 

Sebagai contoh di kawasan MPAJ, terdapat kawasan-kawasan perumahan tertentu yang telah beberapa minggu sampah hanya diangkat sekali sahaja dalam seminggu. MPAJ sudah pasti ada rekodnya. Apa yang penting penduduk sudah membayar cukai dan berdasarkan konsep “value for money” sepatutnya mereka berhak mendapat khidmat angkat sampah tiga kali seminggu. Kehilangan khidmat angkat sampah dua kali seminggu telah menjejaskan hak mereka terhadap “value for their money”, dengan izin.

 

Ini bererti, Kerajaan melalui MPAJ, telah gagal memberi khidmat sepenuhnya bagi “value for their money”. Ini juga bermakna Kerajaan melalui MPAJ berhutang khidmat angkat sampah atau Kerajaan melalui MPAJ telah mengambil cukai daripada rakyat tanpa memberikan khidmat yang sepatutnya.

 

Hulu Kelang meminta berdasarkan rekod yang dimiliki oleh MPAJ, agar MPAJ mengira berapakah nilai khidmat angkat sampah yang tidak diberikan oleh MPAJ ini dan menjadikannya sebagai hutang MPAJ kepada pembayar cukai.

 

Hulu Kelang juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengisytiharkan untuk memulangkan hutang ini sebagai “refund”, dengan izin – kepada pembayar-pembayar di kawasan-kawasan yang terlibat.

 

Perkara ini mungkin dianggap remeh ataupun renyah – namun ini membuktikan integriti, sifat amanah dan prihatin Kerajaan terhadap apakah nilai “value for money” kepada Kerajaan dan rakyat.

 

Keempat: Pembangunan di Kawasan Cerun dan Nyawa Rakyat

 

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini terhadap isu pembangunan di kawasan-kawasan sensitif cerun di Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa:

 

Mengingatkan Dewan yang mulia ini beberapa kejadian tanah runtuh:-

 

  1. Dis 1993 – tragedi Highland Towers runtuh meragut 48 nyawa
  2. April 1995 – tanah runtuh Flat Keramat Permai melibatkan pemindahan 186 penduduk
  3. Mei 1999 – 4 kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa menyebabkan ribuan orang penduduk terputus jalan untuk kembali ke kediaman mereka dan Wangsa Heights Condominium serta Atheneaum Condominium diisytiharkan tidak selamat
  4. Oktober 2000 – tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang lokasinya terletak kira-kira hanya 10 meter dari lokasi tanah runtuh pada Mei 1999
  5. November 2002 – 3 kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Lee Woon di Taman Zooview; di Jalan Bunga Anggerik Ukay Heights dan meranapkan rumah Tan Sri Jeneral (B) Ismail Omar di Taman Hillview yang meragut 8 nyawa
  6. Mei 2006 – kejadian tanah runtuh secara besar-besaran di Kg Pasir yang meragut 4 nyawa serta mengakibatkan cerun tidak stabil yang memaksa 16 keluarga di Taman Zooview terpaksa mengosongkan rumah mereka
  7. September 2007 – kejadian tanah runtuh di Jalan H Taman Melawati yang mengakibatkan kerosakan kepada 2 buah rumah teres dua tingkat
  8. April 2008 – kejadian tanah runtuh di Wangsa Heights Condominium Bukit Antarabangsa yang mengakibatkan beberapa buah kereta remuk dihempap batu-batu besar yang jatuh
  9. Disember 2008 – kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang meragut 5 nyawa, 14 cedera, 14 buah rumah musnah dan 2000 penduduk dipindahkan

10. Mei 2011 – kejadian tanah runtuh di Ukay Perdana yang meranapkan beberapa buah kenderaan

11. Mac 2012 – kejadian tanah runtuh disebabkan longkang pecah di tanah milik pemaju

 

11 kejadian yang meragut 65 nyawa ini tidak termasuk 14 lagi kejadian tanah runtuh di kawasan-kawasan berhampiran seperti di Ampang dan Pandan Perdana.

 

Belum pun kejadian-kejadian ini reda kesannya, penduduk di DUN Hulu Kelang dan DUN Bukit Antarabangsa dikejutkan dengan projek-projek yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda penduduk di sekitarnya.

 

Projek-projek ini adalah:

  1. Projek membangunkan 3 blok, 40-41 tingkat “service suite” berjumlah 1,000 unit di Lot 847, Mukim Ulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan.  [No fail: MPAJ/OSC/DEV/40/12] (“LOT 847”) oleh pemaju Forward Esteem Sdn Bhd (“FESB”);

 

  1. Projek membangunkan 5 blok, 17 tingkat kondominium berjumlah 70 unit di Lot 5, Seksyen 2, Jalan 2, Taman Sri Ukay, Mukim Ulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan [No. Fail : MPAJ 11/2/2/38 – 2012] (“LOT 5”) oleh pemaju Spectacular Heights Sdn Bhd (“SHSB”)

 

  1. Projek membina 206 unit bungalow, rumah superlink dan condominium 18 tingkat (dan kemudahan 3 tingkat} di atas LOT 16833 (PT 4609), 16834 (PT  4610), 16835 (PT 4611), 16836 dan 16837, Taman Melawati, Mukim Setapak, Daerah Gombak, (Bukit Fasa III Taman Melawati) oleh pemaju Angkasa Gagah Sdn Bhd.

Pembangunan 1 dan 2 terletak amat berdekatan dengan tapak Highland Towers.

 

Punca keruntuhan Highland Tower telah dikenalpasti sebagai aliran air bawah tanah di bawah bangunan tersebut telah disekat menyebabkan asasnya menjadi lemah dan bangunan tersebut runtuh.

 

Juruperunding bagi pihak pemaju memaklumkan kepada wakil-wakil penduduk pada 3 Oktober 2012 bahawa keadaan bukit di sekitar Taman Sri Ukay dan Hillview adalah sangat tidak stabil dan berisiko tinggi untuk mengalami kejadian tanah runtuh. Menurut beliau, kejadian tanah runtuh ini boleh berlaku pada bila-bila masa kerana tanda-tanda awal telah muncul sama seperti yang telah berlaku di beberapa kawasan di Bukit Antarabangsa.

 

Apa yang menakjubkan adalah apabila juruperunding tersebut menyatakan bahawa cerun-cerun di kawasan DUN Hulu Kelang dan DUN Bukit Antarabangsa boleh distabilkan oleh pemaju sekiranya pemaju dibenarkan membangunkan kedua-dua projek di Taman Sri Ukay dan Taman Hillview!!

 

Seolah-olah pemaju mahu memberitahu bahawa nyawa dan harta benda penduduk Taman Sri Ukay dan Taman Hillview akan terancam sekiranya pembangunan di kawasan tersebut tidak dijalankan. Sebaliknya jika pemaju dibenarkan memajukan kawasan tersebut, nyawa dan harta benda penduduk akan selamat.

 

Tugas dan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan nyawa dan harta penduduk bukannya tanggungjawan pemaju – ia adalah tanggungjawab Kerjaan Negeri. Taggungjawab ini tidak boleh dipindahkan oleh Kerajaan Negeri kepada pemaju.

 

Dengan itu Hulu Kelang meminta agar Kerajaan Negeri:-

 

  • melantik pakar bebas bagi mengesahkan dakwaan juruperunding pemaju tentang status keselamatan cerun dan kawasan tersebut.

 

  • sekiranya sah kawasan tersebut tidak selamat dan benar-benar mengancam keselamatan nyawa dan harta benda rakyat; Kerajaan hendaklah mengazetkan kawasan tersebut sebagai kawasan tidak selamat dan melalui apa cara sekalipun hendaklah memastikan pemaju tidak dibenarkan membangunkan kawasan yang mengancam nyawa dan harta benda rakyat itu,

Manakala projek ke-3 di Taman Melawati pula menunjukkan adanya tanda-tanda awal pada musim hujan turut membuktikan kawasan tersebut tidak selamat untuk pembangunan. Pada 19 Novermber 2012 telah berlaku tanah runtuh di AmberHill Taman Melawati. Dalam kejadian tersebut longgokan tanah yang besar serta batu-batuan telah jatuh ke atas jalan di hadapan rumah di Jalan K, Taman Melawati.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah mengarahkan dibekukan semua pembangunan di cerun-cerun kelas III dan kelas IV di kawasan Bukit Fasa III Taman Melawati. Namun penduduk mendakwa, apa yang mendukacitakan mereka adalah apabila pihak MPAJ menyatakan bahawa pembangunan  di cerun kelas III boleh dibenarkan sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu.

Saya secara berterus terang ingin menyatakan seperti juga dalam kes projek pertama dan ke-2 di Taman Sri Ukay dan Taman Hillview, penduduk mempunyai persepsi bahawa MPAJ lebih menyebelahi pemaju.

Dalam hal ini, penduduk mempunyai persepsi bahawa pendirian dan sikap MPAJ adalah tidak seiring dan selari dengan dasar dan pendirian Kerajaan Negeri.

Persepsi seperti ini amat perlu diperbetulkan segera.

Sekali lagi seperti projek-projek di Taman Sri Ukay dan Taman Hillview, penduduk Taman Melawati mendakwa bahawa pemaju telah menjanjikan serta meyakinkan Jawatankusa Kawasan Sensitif Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains untuk pemaju menstabilkan kawasan cerun tersebut. Bahkan pemaju bercadang untuk membina bangunan di cerun-cerun yang sudah ditarah di Bukit Fasa III Taman Melawati tersebut.

Dalam satu wacana anjuran Exco Perumahan baru-baru ini, penceramah undangan Profesor Emeritus Dr Ismawi Md Zen telah menyatakan bahawa lapisan tanah di bawah kawasan-kawasan bukit di Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa adalah terdiri daripada lapisan batu buruk, atau rotten rocks, dengan izin. Menurut Profesor Dr Ismawi, sekiranya lapisan batu-batu buruk ini ditebuk bagi pembangunan air akan masuk dan menyerap ke lapisan bahagian dalam. Ini menjadikan lapisan-lapisan ini lemah dan tidak stabil sehingga boleh mencetuskan kejadian tanah runtuh.

Tuan Speaker

Dengan mengambil kira agar Kerajaan Negeri memberikan perhatian kepada empat perkara di atas, Hulu Kelang menyokong Belanjawan 2013.

 

Saari Sungib, 21 Nov 2012

Leave a Reply