|
(gambar) Saari sedang menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para penerima SRI KERAMAT AU2A - Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang telah menjadi tuan rumah kepada Majlis Penyerahan Bayaran Skim Mesra Usia Emas Fasa Kedua bagi peringkat Parlimen Gombak di sini pada 6 Februari 2010 lalu. Pembayaran yang diurus oleh Pejabat Daerah Gombak ini melibatkan penerima yang merupakan penama kepada ahli skim ini dari DUN Batu Caves, DUN Gombak Setia, DUN Hulu Kelang serta warga Selangor di Parlimen Wangsa Maju. Seramai 83 orang penerima terlibat di dalam majlis ini yang mana setiap mereka menerima baki bayaran berbentuk cek sebanyak RM1,500. Ini menjadikan jumlah pembayaran yang dijelaskan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui program ini bagi fasa kedua ini sebanyak RM124,500. Saari dalam ucapan aluannya menegaskan betapa hasil kekayaan sumber alam di negeri Selangor ini seperti sumber pasir, pengurusan air dan sebagainya seharusnya dinikmati oleh seluruh rakyat negeri Selangor, dan bukannya khusus kepada pihak yang menguruskan kekayaan sumber alam ini. Maka sebahagian hasil kekayaan bumi ini disalurkan kepada program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dinamakan Skim Mesra Usia Emas. Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Gombak, YB Mohamed Azmin Ali, Penolong Pegawai Daerah Gombak, Encik Sahimin Ghazali, Pegawai Khas kepada ADUN Batu Caves, Encik Saharudin Bakar, Pegawai Khas kepada ADUN Gombak Setia, Encik Kamaruzzaman, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju, Encik Yaacob Ibrahim serta Ketua Pegawai Eksekutif Rantaian Mesra Sdn Bhd, Encik Kamsani Nasir. (gambar) YB Mohamed Azmin Ali sedang menyampaikan ucapan (gambar) Semua penerima bergambar kenangan selepas menerima bayaran masing-masing |